Rosidah Uri
Thursday, March 3, 2011
Friday, August 13, 2010
Tika Pintu Kaabah Dibuka
.
Selepas solat subuh, kami bergerak untuk pulang ke hotel kira2 pukul 7 pagi. Tanpa diduga, saya dikejutkan dengan peristiwa yang tidak mungkin saya lupakan .....iaitu detik2 pengalaman pertama saya melihat pintu Kaabah dibuka...
Niat saya untuk terus mengikut sahabat saya pulang ke hotel terhenti. Beliau meneruskan langkah meninggalkan saya untuk segera pulang ke hotel...manakala kaki saya terhenti apabila seorang yang tak saya kenali mengajak saya berpatah balik sambil menarik tangan saya menuju semula ke arah Kaabah. Di situ kami melihat ratusan tentera membuat perbarisan dari luar masjid hingga memagari keliling Kaabah.
Baru saya teringat kata2 mutawif kami Encik Iskandar Muda semalam dari Agensi Andalusia Tour & Travel), bahawa King of Saudi Arabia dijadualkan akan masuk ke dalam Kaabah pada pagi 1 Syaaban...Pastinya hati saya sangat gembira dan berdebar menunggu peluang keemasan ini!
Kami berpegangan tangan dan kemesraan mula wujud antara kami kerana kami datang dari negara yang sama. Kami kini berdiri lebih kurang lima meter dari sudut Hajarul Aswad dengan rasa penuh bimbang kerana di hadapan kami iaitu tempat tawaf ketika itu telah dipagari oleh tentera yang serba berpakaian lengkap. Kawasan tempat tawaf kelihatan kosong , tiada siapa pun dibenarkan tawaf di situ.
Mata saya kemudian memandang pada sudut Kaabah di hadapan saya...rasanya ingin saya mendekatinya lagi. Kawasan tempat tawaf yang lapang yang tiada sesiapa, memberi peluang kepada saya untuk menatap dengan lebih dekat lagi Hajarul Aswad yang di dalamnya mengandungi lapan biji batu hitam yang dikatakan batu dari syurga... Tak puas saya memandangnya, walaupun beberapa hari yang lalu, beberapa kejadian anih berlaku, menduga saya...tetapi dengan izin Allah akhirnya saya telah berpeluang memegang dan mengucupnya...Alhamdulillah!
Tiba2 sahabat saya menunjukkan jari ke arah kanan... Mata saya terpaku memandang ke sebuah tangga yang ditolak dan diusung dari dataran masjid masuk menuju ke arah Kaabah.
Tidak berapa lama kemudian saya nampak beberapa orang Arab bangsawan berjalan menuju ke arah Rukun Yamani melakukan istilam (menyalami dan berjabat ) dan seterusnya menundukkan kepala mencium Hajarul Aswad... Mungkin itukah Raja Saudi...? Saya pun sebelum ini tak pernah melihat gambarnya apatah lagi orangnya...terdengar bisikan dan teriakan orang ramai menyebut "King Abdullah! King Abdullah!" Tetapi yang lain2 tu siapa? Ada seorang yang berkerusi roda mungkin uzur agaknya, usiapun sudah terlalu tua..adakah beliau juga salah seorang keluarga diraja juga ..!
Apabila tangga Kaabah telah berada betul2 di hadapan Multazam (pintu Kaabah), saya melihat 'The King of Saudi Arabia' itu terus dibawa naik ke atas tangga paling atas menggunakan sejenis alat kenaikan seperti mini esculator... Dari kacamata saya, kelihatan Raja Abdulah yang hebat dengan pakaian jubah hitam itu memiliki perwatakan yang sangat lemah lembut dan wajah yang bersih dan berseri.. Ya Allah, sesungguhnya saya tak pernah menyangka saya akan dapat melihat baginda dari jarak yang amat dekat sekali...!!
Tangga kaabah itu terus ditolak merapati Multazam. Walaupun kini baginda sudah berada betul2 di hadapan pintu kaabah, tetapi baginda belum lagi masuk ke dalam kerana pintu kaabah belum lagi dibuka. Orang ramai yang melihat dari arah belakang mula berpusu2 dan bertolak2 ke hadapan... tetapi keadaan kami di barisan hadapan masih lagi terkawal. Lama juga kami menunggu, namun pintu kaabah masih tertutup rapat...dalam hati hanya mampu bertanya dan berdoa...apa akan berlaku selepas ini!
Melalui sumber yang saya perolehi, pintu Kaabah hanya boleh dibuka oleh keturunan Bani Syaibah yang merupakan pemegang kunci tersebut. Menurut sumber itu lagi, hanya keturunan Bani Syaibah saja yang berhak memegang dan membuka pintu Kaabah sejak turun-temurun lagi kerana tugas itu merupakan amanah dari zaman junjungan besar Nabi Muhammad saw lagi.
Allahuakbar! Allahuakbar!! Allahukbar!!! Begitulah laungan dan jeritan dari suara2 kesyukuran orang ramai sebaik saja pintu Kaabah dibuka. Melalui apa yang suami dan anak saya ceritakan, mereka dapat merasakan hembusan angin bertiup kuat keluar dari dalam Kaabah tatkala pintu Kaabah dibuka! Manakala saya pula melihat cahaya yang sangat terang berwarna biru kehijau2an tiba2 terpancar menerangi dari dalam Kaabah memancar leluar bagaikan cahaya "spotlight". Wah, cantiknya!!! Tiba2, berdiri bulu ruma saya dan perasaan saya tiba2 cemas...tak sedar bergenangan air mata ini, terharu apakah benar dengan apa yang saya lihat ini! Hati dan lidah saya tak henti2 menyebut... Ya Allah! Ya Allah!
Dalam kesibukan mengambil gambar, suami dan anak saya yang berada di dataran Kaabah, tiba2 menyaksikan perkara yang anih. Beberapa ekor burung helang kelihatan berterbangan bersama2 puluhan burung2 kecil yang lain. Burung2 itu semuanya terbang di ruang udara atas Kaabah bagaikan sedang bertawaf .... Subhanallah! Hanya Engkau saja yang tahu rahsia disebalik semua ini...Ya Allah!
Manakala saya dan sahabat yang ketika itu berada di hadapan Multazam, melihat banyaknya belalang menghinggapi keliling kain Kaabah......Tanda apakah ini Ya Allah? Allahuakbar!
Lama juga pintu Kaabah terbuka... selepas lebih kurang dua jam, pintu masih dibiarkan terbuka luas. Sahabat baru saya menyatakan mungkin memberi laluan kepada tuanku raja dan rombongannya melakukan solat di dalam Kaabah... Oleh kerana saya masih berdiri di hadapan Multazam, saya boleh nampak dengan jelas sebahagian ruang dalam Kaabah. Saya dapat melihat tiang, tulisan ayat2 suci pada dinding sebelah dalam kaabah seperti diperbuat daripada batu marmar dan ada lampu gantung....Dalam hati ini berkata, alangkah bertuahnya sesiapa yang diberi peluang masuk ke dalam Kaabah...kerana melalui luar saja saya boleh nampak sinaran cahaya di dalam Kaabah teramatlah cantik! Saya juga pernah terbaca Dato' Harun Din Al-Hafiz pernah suatu ketika teringin untuk memasuki kaabah...dan impiannya telahpun tertunai.
.
Tidak lama kemudian , lampu tiba2 terpadam dan keadaan dalam kaabah menjadi gelap. Tetapi orang ramai masih tidak berganjak dan masih berpusu2 mengasak ke arah hadapan.Kami tetap menggunakan peluang yang berharga itu untuk terus merakam gambar setiap peristiwa yang berlaku.
Akhirnya, kami melihat Raja Abdullah dan rombongannya muncul dan telah diberi penghormatan keluar dari dalam Kaabah lalu menuruni tangga yang kedudukannya masih rapat pada pintu Kaabah.
Oleh kerana kesesakan orang ramai semakin mengasak ke arah kaabah,akhirnya saya mengajak sahabat saya untuk keluar saja dari lautan manusia itu....namun beberapa kali dicuba untuk keluar kami telah gagal. Lama juga kami berusaha untuk menyusur keluar sehingga sahabat saya yang tubuhnya yang agak rendah itu nyaris2 jatuh tersungkur. Nasib baiklah tidak dipijak oleh pelbagai rupa manusia di sekeliling kami. Mujur saya sempat menarik tangannya untuk berdiri..hanya doa saja yang kami pinta dari Allah...dan akhirnya kami berjaya keluar dengan selamat. Terima kasih Ya Allah...!
Apabila saya sampai di tangga masjid, saya masih dapat menyaksikan ada lagi sekumpulan orang sedang masuk ke dalam Kaabah. Siapakah mereka..!? Pastinya mereka adalah di antara orang2 yang bernasib baik....
Namun, peristiwa itu tetap menjadi kenangan dalam lipatan sejarah hidup saya...semuanya dengan kehendak Allah jua. Ini adalah merupakan sebahagian dari beberapa peristiwa2 manis yang tak diduga berlaku ketika kunjungan ziarah dan umrah saya ke bumi Allah yang penuh barakah. Semoga Allah memberikan saya keberkatan dengan segala apa yang saya alami disini... Ya Allah, ampunkan daku, bukakanlah pintu2 rahmat ke atasku dan kurniakanlah aku hidayah untuk menjadi insan yang ikhlas, sentiasa bertaubat dan tak jemu2 bersyukur kepadaMu. Ya Allah, jangan jadikan tulisan ini tulisan takabur...jauh sekali! Jauh disudut sanubari ini terbit rasa ikhlas untuk berkongsi rasa dan pengalaman berharga bagi membuktikan kekuasaanMu Ya Allah. Walaupun banyak lagi pengalaman2 anih yang tak diduga berlaku tika berada di Mekah dan Madinah, tetapi semuanya saya anggap unik dan menarik...cukuplah sekadar saya mengatakan, melakukan ibadat di bumi Mekah dan Madinah menjadikan kita teruja untuk ke sana lagi. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar dan menunaikan segala hajat dan doa hambanya. Sekian.
Wassalam.
Wednesday, July 28, 2010
Kenangan Ziarah Umrah Penyucian Jiwa Di Tanah Suci
3 Julai 2010 -KLIA
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi kerana aku dan keluargaku bersama kumpulan jamaah Andalusia seramai 40 orang telah selamat melalui perjalanan udara dari KLIA selama 8 jam menuju ke lapangan terbang Jeddah dalam perasaan yang lapang dan tenang.
4 Julai 2010 - Jeddah
Inilah transit kami di Jeddah, kami menunggu ketibaan bas untuk menuju ke Madinah Al-Mukaramah selepas singgah solat di surau yg berdekatan.
Selepas setengah jam menunggu, bas yang djanjikan sampai. Kami meneruskan perjalanan ke Madinah yang mengambil masa kira2 4 jam untuk sampai ke sana.
4 Julai 2010 - Ziarah Disekitar Masjid Nabi di Madinah Al-Mukaramah
Inilah pemandangan di waktu pagi di hadapan hotel Al-Fayroz di Madinah Al-Mukaramah, tempat di mana kami menginap selama 3 hari 4 malam. Jarak antara hotel kami dengan Masjid Nabawi adalah 200 meter. Memakai pakaian yang cantik dan sedikit haruman adalah disunatkan ketika hendak ke masjid nabi.
Inilah di antara hotel2 yang menjadi laluan kami yang terletak di antara hotel kami dengan Masjid Nabawi selama berada di Madinah.
Raudah merupakan kawasan tempat berdoa yang paling mujarab, Allah akan memakbulkan semua doa hambaNya. Hanya kaum muslimin sahaja yang dibenarkan masuk ke dalam kawasan ini, manakala kaum muslimat hanya dibenarkan berdoa dan melakukan amal ibadat di kawasan luar sahaja mengikut waktu2 yang sangat terbatas. Syukur Alhamdulillah, suami dan anak lelakiku beberapa kali berpeluang menunaikan solat fardhu dan solat sunat di sini.
Di antara kawasan makam Rasulullah dan mimbar dalam Masjid Nabawi, yang dikenali dengan tiang2 berwarna putih, kawasan ini dinamakan Raudhah. Inilah suasana Raudah yang sentiasa dipenuhi orang. Hadis sahih Bukhari dan Muslim meriwayatkan, Rasulullah saw bersabda, "Tempat yang ada di antara rumahku dan mimbarku adalah satu taman dari taman2 syurga." Manakala Imam Ahmad menambah dengan hadis rawi2 yang sahih, "Mimbarku berada di atas satu taliair daripada beberapa taliair di dalam syurga."
Ini merupakan kawasan saf di hadapan Raudhah berhampiran dengan makam Nabi. Peluang yang ada digunakan sepenuhnya untuk melakukan solat, membaca Al-Quran dan berzikir.
Pemandangan di luar Masjid Nabawi yang sentiasa bersih dan cantik. Kelihatan di atas masjid ini ada kubah hijau dan di bawah kubah tersebut terletak makam Nabi Muhammad saw dan 2 sahabat baginda. Baginda telah dikebumikan di rumahnya iaitu ditempat di mana baginda wafat. Rujuk surah Ali Imran ayat 144 yang bermaksud, "Dan Muhammad hanyalah seorang rasul; sebelumnya telah berlalu beberapa rasul. Apakah jika dia wafat atau dibunuh, kamu berbalik ke belakang(murtad)? Barang siapa berbalik ke belakang, maka ia tidak akan merugikan Allah sedikitpun. Sesungguhnya Allah akan memberi balasan kepada orang yang bersyukur."
Inilah pintu laluan masuk ke makam Nabi saw yang dikunjungi oleh pelawat2 lelaki sahaja.
Suasana dalam Masjid Nabawi yang sangat cantik reka bentuknya.
Inilah pintu rumah Saiditina Fatimah Al-Zahra binti Muhammad, anakanda Nabi saw yang kedudukannya bersebelahan dengan rumah baginda.
Inilah pintu Jibril, di mana tempat selalunya Jibril turun untuk menyampaikan wahyu kepada baginda Rasulullah saw.
Kaum lelaki sempat di bawa menziarahi kawasan perkuburan Baqi yang sangat luas. Ia terletak di pinggir bandar bersebelahan perkarangan Masjid Nabawi yang dipenuhi dengan batu2 sebagai tanda batu nesan. Perkuburan ini dikenali sebagai Jannatul Baqi yang merupakan perkuburan ahli2 Madinah sejak sebelum zaman Nabi hingga sekarang. Kebanyakannya adalah perkuburan isteri2, putra-putri2, cucunda2, kaum keluarga dan sahabat2 Rasulullah yang disemadikan di sini.
Inilah pemandangan di luar Masjid Nabawi yang sentiasa sibuk dengan orang ramai. Ketika ini kami baru sahaja keluar dari masjid selepas menunaikan solat fardhu asar.
Inilah pemandangan yang sangat cantik dan syahdu di waktu subuh... Jam 4.19 pagi menunjukkan telah masuk waktu subuh waktu Madinah.
Pemandangan selepas solat subuh, muslimin dan muslimat keluar dari masjid dalam suasana tenang dan berhemah.
5 Julai 2010 - Ziarah Di Luar Kota Madinah
Kami memulakan ziarah keluar dari kota Madinah iaitu menuju ke Masjid Quba'yang sangat bersejarah. Masjid Quba' ini merupakan masjid yang pertama dibina oleh Rasulullah saw dan sahabat2 baginda ketika baru tiba di Madinah pada awal hijrah. Masjid Quba' ini merupakan masjid keempat termasyhur selepas Masjidil Haram, Masjid Nabawi dan Masjidil Al-Aqsa. Jauhnya ia dari Masjid Nabawi ialah 4.8km.
Allah swt berfirman dalam surah At-Taubah ayat 108 yang bermaksud,"Sungguh, masjid yang didirikan atas dasar taqwa , sejak hari pertama adalah lebih baik engkau melaksanakan solat di dalamnya. Di dalamnya ada orang2 yang hendak membersihkan diri. Allah menyukai orang2 yang bersih." .
Sesi mendengar taklimat dari Ustaz Iskandar Muda yang merupakan seorang Mutawif Andalusia Tour & Tavel yang sangat berpengalaman yang ditugaskan mengetuai rombongan kami ketika di Madinah.
Inilah pemandangan di sekitar kawasan Bukit Uhud yang jauhnya kira2 12km dari Masjid Nabawi. Panjangnya Bukit Uhud ialah 7.5km. Di kawasan bukit yang amat bersejarah ini terdapat kawasan berpagar yang merupakan tanah perkuburan yang menempatkan makam Saidina Hamzah bin Abdul Mutalib, Saidina Abdullah bin Jahsy dan Saidina Mus'ab bin Umair...dan makam para syuhadah semasa perang Uhud.
Bukit Uhud merupakan salah satu dari bukit2 syurga, maka pandanglah ia..semoga kamu beruntung. Rujuk surah Ali Imran ayat 169 yang bermaksud, "Dan jangan sekali2 kamu mengira bahawa orang2 yang gugur di jalan Allah itu mati; sebenarnya mereka itu hidup, di sisi Tuhannya mereka mendapat rezeki."
Pemandangan berlatar belakangkan Jabal Ainain berhadapan dengan Jabar Uhud (bukit Uhud)
Sungguh besar tandannya, cantik ranum buahnya dan rasanya yang rangup dan kelat manis tetapi sedap. Inilah keunikan buah tamar ciptaan Allah yang sangat berkhasiat dan tahan disimpan lama yang menjadi kesukaan nabi kita, Nabi Muhammad saw.
Selepas lawatan ke ladang kurma, kami ke Bazaar Kurma dan tidak melepaskan peluang untuk menjamah dan membeli beberapa jenis kurma yang menjadi idaman pengunjung. Di antaranya ialah Kurma Ajwa iaitu kurma Nabi yang dikatakan berkhasiat sebagai penyembuh penyakit dan penawar racun/sihir (insyaallah), Kurma Mabrur, Kurma Syafawi dsbnya. Di bazaar ini juga dijual perbagai jenis coklat Arab, kandy, kismis, dan kekacang sebagai buah tangan untuk dibawa pulang.
Bersambung ke episod seterusnya....
Thursday, May 7, 2009
KEBUNKU..wee~~~
Dah duduk umah ni,kenalah isi masa..ayte? Akhir Feb 2009 aku mulakan projek kebun sayur
(just an ordinary process)..huhu~dapatlah juga makan sayur sawi, kailan, daun ubi, ulam raja dan selom. Dapat gak jimat blanje dapur..hehe! Nak kunyit, serai??cepat2 lari blakang umah..haha..xyah g kedai! Agaknya, abah budak2 ni jealous tgk sayur2 aku 2..huhu~dia pun mula tanam cara fertigasi. Guna polibag je..guna sekam padi.nah,ni dia hasilnye(hati berbunga gembira gle~~). Baru sebulan da cepat besar. cara ni xyah siram..cuma isi air and baja 6 hari skali ke dalam tong 2. Ia akan siram secara automatik ke setiap pokok 4 jam sekali. Tanaman yang ditanam dlm polibag tu adalah kubis, bendi, cili api, cili merah, tomato, tomato ceri, timun dan terung..bendi da berbuah 5 biji dah. Skenyer!! Nnt kite cite lagi ble sume da berbuah..ok!!okie dokie..to be continued..huhu~~~
Tuesday, May 5, 2009
SUNNAH BERSIWAK
ISLAM memberikan sanjungan tinggi terhadap kebersihan, malah diangkat di kedudukan istimewa sehingga Nabi Muhammad s.a.w pernah menegaskan sebagai sebahagian daripada iman.
Kebersihan dilihat melalui ibadat rutin harian seorang muslim yang bertitik tolak daripada amalan menyucikan diri melalui wuduk, kebersihan pakaian dan tempat ibadat.
Nabi s.a.w menunjukkan isyarat penjagaan kebersihan merangkumi semua bidang, bermula dari tubuh badan baik rohani atau jasmani, sehingga pakaian, kediaman dan persekitaran, harus dipastikan bersih.
Anggota luaran lebih-lebih lagi perlu diberikan perhatian dan dandanan kerana ia membentuk personaliti diri seseorang selain mengelak penyakit.
Saidatina Aishah r.a berkata yang bermaksud: "Sepuluh perkara dikira sebagai fitrah (sunnah); memotong misai, memelihara janggut, bersugi, memasukkan air ke hidung, memotong kuku, membasuh sendi-sendi, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu ari-ari, bersuci dengan air (beristinja)." (Hadis riwayat Muslim)
Antara yang diberikan penekanan ialah kebersihan mulut dan gigi, kerana Rasulullah s.a.w ada menyatakan dalam sabda bermaksud: "Jika tidak menyusahkan ke atas umatku, aku ingin menyuruh mereka melambatkan solat Isyak dan bersugi (menggosok) gigi setiap kali mereka hendak melakukan solat." (Hadis riwayat Muslim)
Membersihkan mulut dan gigi atau bersugi, dalam bahasa Arabnya disebut siwak, sangatlah dianjurkan Islam, bahkan baginda menyatakan: "Bersiwak itu menyucikan mulut, diredai Tuhan dan dibenci syaitan."
Siwak merujuk kepada dua pengertian iaitu perbuatan menggosok gigi dan membersihkan mulut serta alat atau kayu yang digunakan untuk menggosok gigi, dipanggil kayu siwak.
Nabi s.a.w sendiri dilaporkan membersihkan gigi, paling kurang dua kali sehari. Imam Bukhari meriwayatkan daripada Abdullah bin Omar: "Nabi bersiwak (menggosok gigi) pada permulaan siang dan akhirnya."
Namun, kebiasaannya Nabi s.a.w menggosok gigi berulang kali setiap hari. Sehubungan dengan ini, Amir bin Rabiah melaporkan: "Aku melihat nabi menggosok gigi (berulang-ulang kali) sehingga aku tidak mampu menghitung jumlahnya ketika baginda berpuasa." (Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Tirmizi).
Ulama terkenal Arab Saudi, Syeikh M S Al-Munajjid, berkata Imam Nawawi dilaporkan ada menyatakan ulama bersependapat penggunaan siwak adalah satu sunnah.
Menurutnya, satu lagi daripada bukti yang menunjukkan pentingnya amalan itu apabila sesetengah ulama salaf (silam) seperti Ishaq ibn Rahawayh, berpendapat ia kewajipan.
Siwak menurut kesepakatan ulama yang paling baik dengan ranting pokok arak, kerana baunya harum, malah seratnya sangat berkesan membersihkan sisa makanan di celah gigi.
Jika ranting pokok arak tidak diperoleh, tangkai daun pokok palma atau ranting pokok zaitun boleh digunakan.
Jika bahan itu tidak diperoleh, mana-mana bentuk kayu yang baik untuk membersihkan dan tidak mencederakan gigi boleh digunakan untuk membersihkan mulut.
Ini termasuklah penggunaan berus gigi moden.
Pembersihan gigi dan mulut menggunakan kayu atau ranting dari pohon arak (salvadora persica) berlaku sejak berkurun yang lalu, kerana ia kaya dengan serat dan khasiat bagi kesihatan mulut dan gigi.
Justeru itu, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dilaporkan mempromosikannya bagi kegunaan pembersihan mulut.
Kajian mendapati kayu sugi daripada pohon arak mempunyai kelebihan secara semula jadi. Penyelidikan Dr Otaybi dari Arab Saudi membuka era baru terhadap kajian kayu terbabit, apabila menemui kesan sangat positif terhadap sistem kekebalan badan.
Malah, penyelidik lain mendapati ia mempunyai kesan baik bagi kesihatan terutama dalam proses antiketagihan perokok, sama ada untuk tujuan penyembuhan atau pencegahan, selain bahan antiseptik, astringen, pencuci dan dan fluorida (bahan penghalang kerosakan dan kereputan gigi).
Amalan membersihkan mulut dan gigi menurut ulama sangat dituntut. Waktu melakukan siwak, iaitu:
i. Ketika mahu berwuduk dan mengerjakan solat.
ii. Apabila memasuki rumah dan bersama keluarga. Aishah ketika ditanya tindakan pertama dilakukan Nabi s.a.w apabila tiba di rumah, beliau berkata: "Apabila baginda memasuki rumah, perkara pertama yang baginda lakukan ialah siwak." (Hadis riwayat Muslim)
iii. Apabila bangun dari tidur. Huzaifah ibn Al-Yaman r.a menyatakan apabila Nabi s.a.w bangun pada waktu malam, baginda membersihkan mulut dengan siwak secara sempurna. (Hadis riwayat Al-Bukhari)
iv. Apabila bau mulut seseorang berubah, sama ada disebabkan makan makanan yang berbau atau tidak makan dan minum dalam tempoh yang lama.
v. Ketika ke masjid. Penggunaan siwak sebahagian daripada dandanan yang sangat digalakkan bagi muslim pada setiap kali mendirikan solat. Ini sesuai dengan firman Allah dalam ayat 31, dari surah Al-A'raf, maksudnya: "Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (sembahyang)."
vi. Apabila membaca al-Quran dan mengikuti majlis tertentu khususnya majlis mengingati Allah.
Ulama bersependapat tiada salahnya menggunakan siwak pada siang hari apabila seseorang itu berpuasa, cuma mereka berbeza pada waktu tengah hari, dengan sesetengahnya mengatakan makruh.
Di kalangan ulama juga ada perbezaan pendapat mengenai penggunaan tangan untuk bersiwak. Satu pendapat, iaitu majoriti ulama berpendapat lebih baik melakukannya dengan tangan kanan.
Ini sesuai dengan hadis Aisyah r.a yang menyatakan: "Nabi s.a.w gemar memulakan dengan yang kanan apabila memakai kasut, turun (dari untanya), apabila membersihkan diri dan dalam semua perkara."
Mereka juga menyatakan siwak adalah satu perkara daripada ibadat yang mendekatkan seseorang terhadap Allah, jadi tidak sepatutnya dilakukan dengan tangan kiri.
Ulama lain berpendapat ia baik dilakukan dengan tangan kiri. Pendapat ini dikatakan daripada mazhab Imam Ahmad dan pandangan ini disokong Syeikh Al-Islam Ibn Taimiyah.
Sesetengah ulama berpendapat, apabila seseorang menggunakan siwak dengan niat mengikuti sunnah, dia sepatutnya melakukan dengan tangan kanan dan jika untuk menghilangkan kekotoran, sepatutnya dengan tangan kiri.
Berdasarkan isyarat daripada al-Quran dan penegasan Nabi s.a.w, ditambah dengan perbincangan ulama dan kajian pakar perubatan jelas menunjukkan persoalan ini bukan lagi sesuatu yang boleh dipandang ringan.